Jul 25, 2010

UKHWAH itu INDAH

picture from ~ islamic-testi.logspot


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara,
sebab itu damaikanlah
(perbaikilah hubungan) antara
kedua saudaramu itu dan bertaqwalah terhadap Allah,

supaya kamu mendapat rahmat."
(al-Hujurat: 10)

Indah hidup berukhuwah keranaNya. Manisnya dan kelazatannya tidak ternilai. Apakah itu Ukhuwah Islamiyah (Ikatan Persaudaraan kerana Allah)?

Hassan Al-Banna dalam majmu' Rasail menjelaskan:

" Yang saya maksudkan dengan ukhuwah Islamiyah ialah hati dan jiwa terikat dengan ikatan aqidah. Aqidah merupakan ikatan paling kukuh dan bernilai. Ukhuwah adalah saudara iman, sementara perpecahan pula adalah saudara kufur. Kekuatan pertama (selepas aqidah) ialah kekuatan perpaduan dan tidak ada perpaduan tanpa kasih sayang."

Ikatan aqidahlah yang mengikat antara hati orang-orang Islam - bukan ikatan darah, keturunan, bangsa, kebendaan, kroni dan sebagainya. Ikatan aqidah adalah ikatan yang paling kukuh.




Darjat Ukhuwah

Terdapat tingkatan-tingkatan dalam ukhuwah. Adakah ukhuwah yang kita rasai selama ini tergolong di antara ukhuwah yang paling minima dan ukhuwah yang paling tinggi?

Ukhuwah yang paling minima ialah salamatus-sadri iaitu sejahtera jiwa sesama muslim. Yakni, seseorang muslim tidak mempunyai sebarang halangan dengan saudaranya - wujud saling percaya mempercayai, tiada syak wasangka dan curiga.

Ukhuwah yang paling tinggi ialah al-ithar iaitu seseorang muslim mengutamakan saudara seislamnya melebihi dirinya sendiri. Oleh itu, adakah kita sudah melepasi seminima ukhuwah? Adakah kita sudah menjejaki jalan menuju Ukhuwah yang paling tinggi?




Ukhuwah Adalah Anugerah Allah

Ukhwah. daripada mana datangnya nikmat ukhuwah ini. Adakah secara kebetulan? Adakah tempoh kekal lamanya perhubungan? Adakah lahir dari perasaan yang asyik dengan kemanisan bersaudara atau berkawan?

Ketahuilah saudaraku, Ukhuwah itu adalah satu anugerah Allah kepada orang-orang beriman. Allah menanamkan di dalam hati mereka sifat tersebut. Ia bukan ciptaan manusia. Firman Allah subhanahuwata'ala.


"Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin dan Dialah menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu belanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Anfal: 62-63)

Oleh itu saudaraku yang ku kasihi, pohonlah kepada Allah s.w.t supaya DIA mengekalkan anugerah yang tidak ternilai ini di dalam jiwa kita. Tiada kudratnya kita untuk memastikan ukhuwah ini terjaga. Hanya DIAlah yang Maha Perkasa yang memperkuatkan dan menyatukan hati-hati kita. Mudah-mudahan ukhuwah yang terbina keranaNya membawa kita semua ke negeri yang Indah Abadi (Syurga).



mentari senja ^^


0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.